Friday, September 26, 2008

Petua Memikat Hati Guru (4)

Petua keempat untuk memikat hati guru ialah ‘tumpukan sepenuh perhatian’ semasa guru sedang mengajar. Hmmm… saya percaya anda tentu pernah mendengar tentang petua ini. Namun, tahukah anda bagaimana caranya untuk memberi sepenuh tumpuan? Tahukah anda tumpuan bagaimanakah yang akan membuat hati guru terpikat kepada anda?

1. Perkara yang paling penting untuk anda amalkan mulai hari ini ialah, apabila guru anda mula mengajar, berhenti daripada melakukan perkara lain. Bila saya kata berhenti, maksudnya berhenti semua sekali aktiviti yang boleh mengganggu konsentrasi anda semasa belajar. Berhenti daripada mencari pen atau pensil, berhenti mencari buku, berhenti mengalihkan kedudukan meja, berhenti bercakap dengan kawan di sebelah, berhenti membetulkan kedudukan rambut anda, berhenti makan gula-gula dan sebagainya. Pendek kata, 100% perhatian anda mesti diberikan kepada guru anda.

Kesan utama amalan ini ialah anda tidak akan terlepas apa-apa penerangan daripada guru anda. Selalunya, 5 hingga 10 minit pertama dalam sesi pembelajaran adalah yang paling penting. Ini kerana, jika anda terlepas penerangan awal, anda akan terus tidak faham hingga ke akhirnya. Sama seperti apabila anda menonton tayangan gambar, apa akan jadi jika anda terlepas permulaan cerita itu? Adakah anda akan faham cerita itu?
Menurut pengalaman saya sendiri sebagai guru, saya akan merasa marah apabila pelajar sibuk dengan perkara lain semasa saya mula mengajar. Ini kerana, apabila tiba masa membuat latihan nanti, pelajar-pelajar inilah yang akan merungut dengan perkataan ’susah’, ‘pening’, ‘tak faham’, ‘tak boleh buat’ dan sebagainya. Apa yang membuat saya marah ialah, mereka tidak faham bukan kerana mereka tidak ada kebolehan untuk memahami tetapi kerana mereka mempunyai tabiat yang tidak mahu memberikan tumpuan. Pelajar-pelajar ini selalunya akan mengganggu konsentrasi pelajar lain pula.

2. Memberikan tumpuan tidak bermakna anda hanya duduk diam tidak bersuara. Anda boleh bertanya jika anda kurang faham. Angkat tangan dan tanya dengan sopan tentang apa yang anda tidak faham. Seorang guru yang baik akan menjawab soalan anda dengan sopan juga dan bantu anda untuk memahami apa yang sedang diajarkan.

3. Beri tumpuan dengan cara duduk yang betul. Bayangkan bagaimana cara seorang yang malas duduk belajar. Tentu dia kelihatan tidak selesa bergerak ke sana ke sini dan menyandar di kerusi seperti sedang letih dan mengantuk bukan? Jika guru melihat anda duduk dengan cara ini semasa belajar, guru akan rasa ada tidak berminat dan tidak menumpukan perhatian kepada apa yang diajarkan. Jadi, jangan duduk begini. Bayangkan cara duduk seorang pelajar cemerlang. Mereka selalu duduk dengan selesa, tegak dan tubuh mereka ke depan sedikit (tidak menyandar). Bayangkan.
Hanya dengan mengubah cara anda duduk sebenarnya sudah boleh memikat hati guru anda kerana anda kelihatan benar-benar mahu belajar. Adapelajar yang bertanya saya mengapa guru tidak suka mengajar pelajar yang tidak pandai? Sebabnya bukan kerana pelajar itu susuah diajar tetapi ada kemungkinan pelajar itu tidak menunjukkan rasa minat dan tidak menunjukkan yang dia menumpukan perhatian kepada apa yang diajarkan.

Saya pernah lihat pelajar yang bersandar ke kerusi (seperti seorang bos sedang menemuramah pekerja) semasa bertanya soalan kepada cikgunya. Cara duduk begini semasa mengajukan soalan membuat pelajar itu kelihatan seperti seorang yang sombong dan berlagak di depan gurunya, walaupun saya percaya pelajar itu tidak bermaksud begitu. Jika anda mahu tanya soalan semasa duduk, tegakkan badan, gerakkan tubuh anda kedepan sedikit (lean forward) dan tanya soalan dengan sopan. Selamat mencuba.
Osman Affan

Petua Memikat Hati Guru (3)


Petua ketiga untuk memikat hati guru ialah ‘timbulkan minat untuk belajar’. Jika saya tanya anda, apakah fungsi dan peranan seorang guru?…….. tentulah untuk mengajar bukan? Jika anda mempunyai minat untuk belajar, anda akan membuat guru anda mampu memenuhi peranan mereka.
Saya banyak mendengar rungutan pelajar mengatakan bahawa kebanyakan guru lebih suka mengajar di kelas-kelas elit atau kelas utama di sesebuah sekolah. Kata pelajar ini, guru suka mengajar mereka kerana mereka sudah pandai dan senang diajar. Saya percaya tanggapan ini kurang tepat.
Saya boleh percaya bahawa guru lebih suka mengajar kelas elit namun ia bukan kerana pelajar itu semua sudah pandai dan memudahkan kerja guru. Sebab utamanya ialah pelajar di kelas elit selalunya menunjukkan semangat dan keinginan untuk belajar yang tinggi. Mereka begitu berminat untuk belajar dan dengar dengan bersungguh-sungguh apa yang guru mereka ajarkan. Apabila pelajar menunjukkan rasa minat untuk belajar, guru akan bertambah minat untuk mengajar.
Susahkah untuk menunjukkan minat untuk belajar? Hmmm… mungkin susah jika anda langsung tidak berminat untuk belajar. Soal diri anda sendiri, mengapa anda perlu belajar dan mengapa anda perlu kuasai apa yang mahu anda pelajari? Jika anda tidak boleh minat kepada apa yang guru anda ajarkan, anda tidak boleh memikat hati mereka.
Mulai hari ini, timbulkan rasa minat anda pada apa yang anda pelajari. Cari sebab mengapa anda perlu suka apa yang anda pelajari. Fikirkan bagaimana anda boleh gunakan apa yang anda pelajari sekarang dan di masa hadapan. Buat semua kerja dan latihan yang guru anda suruh. Ini dapat menunjukkan kesungguhan dan minat anda.
Selamat mencuba.

Osman Affan

Petua Memikat Hati Guru (2)


Petua kedua untuk memikat hati guru anda ialah, tawarkan bantuan anda apabila mereka memerlukannya. Sebagai contoh, disekolah selalunya anda dapat lihat guru terpaksa bawa banyak buku ke bilik mereka. Ada ketikanya, guru akan meminta pertolongan pelajar. Ada ketikanya, guru tidak meminta dan cuba membawa sendiri.

Peranan anda disini ialah menawarkan bantuan tanpa disuruh. Kebanyakan pelajar akan menolong guru mereka tetapi mereka menunggu hingga disuruh. Jika guru mereka tidak berkata apa-apa, mereka juga akan mendiamkan diri dan melihat sahaja guru mereka bersusah payah membawa buku-buku tersebut.

Apabila anda tawarkan pertolongan kepada guru anda, hati mereka akan jadi lembut kepada anda. Bayangkan, ketika anda dalam kesusahan dan seseorang menawarkan pertolongan tanpa diminta, apakah yang akan anda rasa?

Budaya dan cara pemikiran kita di Malaysia terutamanya, kita mudah rasa rapat kepada seseorang yang suka menolong kita. Tentu anda pernah mendengar ungkapan ini, ‘Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa’.

Mulai hari ini, jangan menunggu disuruh untuk membantu. Bantuan anda ini adalah satu cara yang sangat berkesan untuk memikat hati guru anda.

Osman Affan

Saturday, September 20, 2008

Petua Memikat Hati Guru (1)


Pernahkah anda dengar pelajar merungut, “Cikgu tu tah apa-apa tah….. pilih kasih…. kalau si Leman tu, apa dia buat semua ok…. kalau aku ni, ada je benda tak kena….. pilih kasih betul…….”

Rungutan begini selalunya datang daripada pelajar yang iri hati melihat sesetengah pelajar lain rapat hubungan dengan guru mereka. Adakah anda juga begini?

Katakan memang ada guru yang pilih kasih dan melebih-lebihkan sesetengah pelajar, adakah anda akan merungut jika anda yang menjadi anak murid kesayangan guru itu? Tentu tidak bukan? Apa yang ingin saya katakan ialah, guru pilih kasih adalah perkara biasa. Ia tidak bermaksud guru itu pilih kasih pada sesetengah pelajar hingga menganiaya pelajar lain. Saya percaya semua guru sayangkan anak muridnya. Cuma, disebabkan guru juga adalah manusia biasa, mereka akan lebih menyayangi beberapa anak murid yang memenuhi beberapa kriteria pilihan mereka.

Pentingkah anda memikat hati guru anda? Apa untungnya jika guru anda mengasihi anda? Saya beri satu contoh mudah. Katakan anda diminta mengajar dua anak saudara anda yang beberapa tahun lebih muda. Anak saudara yang pertama suka mendengar kata anda. Dia membuat apa yang anda suruh semasa sesi pembelajaran dan memberi sepenuh perhatian kepada anda semasa anda mengajar.

Anak saudara yang kedua pula tidak boleh duduk diam semasa sesi pembelajaran. Semasa anda sibuk mengajar, dia sibuk mengasah pensel, mencari buku, melukis kartun dan sebagainya. Apabila anda suruh buat latihan, dia merungut dengan mengatakan bahawa dia tidak faham apa yang anda ajarkan.

Soalan saya, anak saudara mana yang anda akan lebih suka? Mudah bukan? Soalan saya lagi, jika anda rasa anak saudara anda suka mendengar apa yang anda ajar, apakah anda akan semakin bersemangat untuk mengajarnya? Sudah tentu bukan?

Jadi, anda perlu tau serba sedikit bagaimana mahu mengambil hati atau memikat hati seorang guru. Ini tidak bermaksud anda mahu mempermainkan mereka. Memikat hati guru bertujuan agar ilmu anda lebih diberkati dan anda akan lebih mudah faham apa yang diajarkan. Inilah objektif utama mengapa anda perlu tahu beberapa petua untuk memikat hati seorang guru.


Petua 1
Petua pertama adalah petua yang paling penting. Untuk memikat hati guru anda, anda perlu belajar dalam keadaan ‘Gelas yang kosong‘. Apakah maksud saya ini?

Belajar dalam keadaan gelas yang kosong ialah anda perlu rasa rendah diri dan buka minda anda untuk menerima apa yang diajarkan oleh guru anda. Banyak ketikanya saya lihat pelajar datang ke sekolah, kolej, universiti, seminar atau bengkel dalam keadaan gelas yang penuh. Ini bermaksud, mereka rasa mereka tahu banyak perkara berbanding kawan-kawan sebaya mereka malah mereka juga rasa mereka lebih tahu daripada guru mereka.

Apa akan jadi jika air dituangkan ke dalam gelas yang penuh? Ya….. air yang dituang itu akan tumpah. Malah, air yang ada di dalam gelas yang penuh itu juga akan turut mengalir keluar. Jika anda tidak percaya, cuba isikan air sirap kedalam sebiji gelas hingga penuh. Tuangkan air masak ke dalam gelas itu. Biarkan air yang melimpah keluar. Lama-kelamaan, anda akan lihat gelas yang berwarna merah disebabkan air sirap itu akan lama kelamaan menjadi putih.

Apa yang ingin saya katakan ialah jika anda datang ke majlis ilmu dengan perasaan anda lebih mengetahui, anda tidak akan pelajari sesuatu yang baru. Malah ilmu yang ada pada anda juga akan jadi semakin susut dan tidak bernilai. Apa kena-mengena petua ini dengan memikat hati guru?
Guru sangat mudah mengesan jika anda datang kepada mereka dengan gelas yang penuh. Orang yang datang dengan gelas yang penuh boleh dikesan melalui percakapannya, soalannya dan juga cara mereka duduk dalam sesuatu majlis ilmu itu. Apabila seorang guru dapat mengesan orang-orang begini, selalunya guru akan cuba mengalihkan perhatian kepada anak murid yang lain. Ini adalah supaya guru dapat mengekalkan semangat mereka untuk mengajar dan emosi mereka tidak terganggu dengan pelajar gelas penuh ini.

Sebaliknya, jika anda datang dengan gelas yang kosong, guru akan dapat mengesan bahawa anda datang dengan niat mahu belajar. Saya sendiri, saya sangat suka melayan pelajar yang ada niat mahu belajar. Mereka ini selalunya bersedia untuk mendengar nasihat bagaimana mahu memajukan pelajaran mereka. Untuk pelajar begini, seorang guru sanggup berkorban masa dan tenaga untuk membantu.

Apa yang perlu anda lakukan sekarang? Ada beberapa perkara:

Betulkan niat anda untuk betul-betul belajar. Anda perlu ingat, orang yang bijak adalah orang yang mempunyai kebolehan untuk mempelajari sesuatu dengan baik, bukan orang yang suka menunjukkan kepandaian mereka.
Elakkan daripada memalukan guru anda dengan menunjukkan kepandaian anda. Contohnya, ada kalanya guru membuat kesilapan seperti membuat kiraan yang salah di depan kelas. Jika anda mahu betulkan kesalahan itu, betulkan dengan cara yang sopan agar tidak menjatuhkan air muka guru tersebut.
Dengar nasihat dan cadangan guru anda tentang bagaimana cara untuk memajukan diri anda.
Selamat mencuba.

Osman Affan

Sunday, August 31, 2008

Selamat Hari Lahir Negaraku (Makna sebuah Kemerdekaan)

Majlis Pengawas Sainsri mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-51. Ini bermaksud kita telah merdeka selama 51 tahun. Syukur kerana kita lahir sebagai warga merdeka di bumi bertuah Malaysia.

Sejarah silam telah membuktikan negara kita telah dijajah selama lebih 100 tahun. Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun silih berganti menjajahi kita. Bagi membebaskan diri dari belenggu penjajahan ini, darah, peluh keringat, nyawa telah dikorbankan oleh pejuang2 dan pemimpin2 lampau. Pasti mereka berbangga dengan kemajuan yang dinikmati negara masa kini tetapi mungkin juga mereka sedih meratapi keadaan generasi muda kini.

Diharapkan semua sainsrian menghayati makna kemerdekaan sebenarnya. Merdeka bukan bermaksud segalanya bebas. Kita harus juga merdeka jiwa dan raga. Harus berpandukan landasan aqidahisme yang betul bukan semata2 meniru gaya orang barat yang sebenarnya penjajahan bentuk baru.

Maka dengan laungan kemerdekaan penuh bersemangat, nyanyian lagu patriotik penuh tekad pada malam kelmarin, sainsrian seharusnya menjaga amanah bangsa dan negara. ingatlah andalah merupakan generasi yang akan memimpin negara pada masa hadapan. jangan sia2kan masa remaja dan muda anda. hormati ibu bapa kita, guru kita, sesama rakan berbilang kaum kita dan yang paling penting akhlak kita.



Saturday, August 30, 2008

Merdeka! Merdeka! Merdeka!


Sambutan bulan kemerdekaan sainsri telah diakhiri dengan penuh gemilang pada Majlis Malam di Ambang Kemerdekaan pada malam 30 Ogos 2008.
Pengisian dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, solat hajat memohon keredhaan Allah SWT agar negara kita terus makmur, aman dan merdeka. Seterusnya diikuti dengan ceramah yang bertajuk Kemerdekaan dalam perspektif Islam khususnya kepada generasi2 muda yang telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ust. Muzaha Mohamed. Selepas itu majlis diteruskan dengan solat isya' berjemaah dan jamuan makan malam.

Majlis kemuncak kemudiannya berlangsung di Dewan Sri Pahlawan pada pukul 9.00 mlm:
Pertandingan Tarian Tradisional antara Rumah 2008.
Ucapan aluan Pengetua
Pn Lily Hj Morni
Ucapan perasmian Naib Yang di Pertua PIBG
En. Hamidon b. Abd. Ghani
Pembacaan ucapan kemerdekaan DYMM Seri Paduka Yang di Pertuan Agong
oleh Pn. Norsiah Abdul Manan
Pembacaan ucapan kemerdekaan Menteri Pelajaran Malaysia
oleh En. Linggi Entain
Pembacaan ucapan kemerdekaan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
oleh Pn. Noradiyani bt Mohd Rofi
Penyampaian hadiah-hadiah aktiviti sepanjang bulan kemerdekaan
Nyanyian lagu2 patriotik
Laungan kemerdekaan tanggal 31 Ogos 2008




Sesungguhnya kamilah pewaris penyambung warisan negara...

Warisan
Disini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Disini tersemai cita cita
Bercambah menjadi warisan
Andai ku terbuang tak diterima
Andai aku disingkirkan
Kemana harusku bawakan
Kemana harusku semaikan cinta ini
Betapa Dibumi ini ku melangkah
Keutara selatan timur dan barat Ku jejaki
Aku Bukanlah seorang perwira
Gagah menjunjung senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri
Demi cinta ini
Ku ingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung warisan

Sunday, August 24, 2008

antara keseronokan dan harapan ibu bapa & guru


Exam PMR dah tak lama lagi. sewajarnya semangat belajar untuk exam mengenepikan segala keseronokan. sepatutnya tinggal sebulan lagi pelajar kena berkorban masa, tenaga dan hati jiwa dan raga untuk menimba ilmu ke saat2 akhir. bukannya buat masalah disiplin. bila dah buat salah pasti kena hukum. kononnya sebab buat kesalahan kerana nak lepaskan tension. tapi sekarang dah tertangkap, fikir pasal salah dan apa hukuman yang bakal diterima, otak kepala makin tension.
Bukankah lebih baik kalau tension tu pegi surau solat hajat atau solat tahajud daripada fly tak tentu pasal. diminta untuk datang semasa cuti sebab ada kelas tambahan, cikgu nak bagi tips2 dan latihan ulangkaji. tapi apakan daya, madu dibalas dengan tuba. segelintir pelajar senyap2 dengan harapan takan diketahui oleh guru telah keluar ke pantai pada lewat malam.

rasanya bonda pengetua telah berpesan bahawa semua pelajar diharamkan ke pantai kecuali jika bersama keluarga sendiri semasa outing atau bermalam. tapi kawan dan keseronokan mengatasi segala2nya. keluar lewat malam dan balik lewat pagi tanpa memikirkan keselamatan diri, secara logik akal yang kita nak exam, exam tak lama lagi, kita dah lah tak pandai sangat adalah suatu perbuatan yang kurang bijak. kesian kat mak ayah, dengan harapan hantar anak ke sekolah masa cuti agar untuk belajar tapi ini hakikatnya.

mujur tiada kemalangan yang tidak diingini berlaku. kalau dilanggar kereta semasa menyeberang jalan ke pantai, dirompak disamun orang tak dikenali, dipukul diculik... hishhhh macam2 hal boleh berlaku. berbaloikah bermain bola di pantai lewat malam nak hilangkan tension jika hal2 tersebut berlaku. yang susah pihak sekolah, ibu bapa dan diri sendiri.


pelajar2 kena fikir, takkan bila sekolah bina pagar sekolah setinggi 5 meter, ada anjing rotweller, ada periuk api, ada elektrik baru kita tak nak fly. yang penting diri hati kita niat kita. kalau kita niat nak belajar memang kita akan belajar, tapi kalau niat kita nak main2 maka main je lah keje yang kita tahu. insaflah sebelum terlambat. ingat keberkatan guru itu penting. kalau guru2 tengok kita ada sekelumit perasaan 'menyampah', baik kita segera bertaubat. bahaya nanti semua ilmu jadi blank. kita boleh mendabik dada sekarang, tapi Allah itu Maha adil... anda boleh tipu semua orang, guru, makbapak tapi anda tak boleh tipu Dia. Terlupa, seorang lagi insan malang yang anda tipu... tak lain tak bukan, diri anda sendiri. Kasihan!