Wednesday, August 20, 2008

Kecantikan yang kelam

Tersebut adalah satu kisah yang menimpa seorang pakcik tua sewaktu dia dalam penerbangan. Apabila tiba waktu solat, dia pun pergilah ke tandas untuk berwuduk. Al maklum, tandas di dalam kapal terbang memang sempit, maka dia pun terpaksalah membuka pintu tandas itu ketika berwuduk. Tatkala dia sedang mengangkat salah satu daripada kakinya ke sinki (washing basin), seorang pramugari telah ternampak perbuatan pakcik tua itu dan segera menegurnya.
Pramugari: (Dengan suara dikeraskan) Tuan tak boleh memasukkan kaki ke dalam sinki itu.
Pakcik Tua: Mengapa?
Pramugari: Kotorlah sinki itu nanti.
Pakcik Tua: Tapi tidak disediakan gayung untuk saya mencuci kaki di mangkuk tandas.
Pramugari: Itu bukan alasan membasuh kaki di sinki.
Pakcik Tua: Habis, kalau saya hendak membasuh kaki di mana harus saya membasuhnya?Pramugari: Tak perlu mencuci kaki ketika menaiki kapal terbang.
Pakcik Tua: (Dengan suara lembut dan penuh rendah diri) Berapa kali saudari mencuci muka saudari dalam satu hari?
Pramugari: Tuan, orang macam saya paling tidak cuci muka sekali atau dua kali sehari. Takkan tuan tak tahu pramugari macam kami perlu jaga penampilan wajah. Kami kena rawat wajah kami setiap masa. Kami kena pastikan orang puas hati walau hanya dengan melihat wajah kami.
Pakcik Tua: Saya mencuci kaki saya lima kali dalam sehari, satu kali cuci tiga kali berturut-turut, bererti kaki saya lebih bersih dari muka saudari.


Jawapan seperti ini bukanlah pula hendak merendah-rendahkan orang lain tetapi sekadar membuat perbandingan ciri orang beriman bersama bukti dengan orang beriman tanpa bukti. Orang yang beriman bersama bukti, walau apa pun keadaannya dia akan lakukan semua kewajipan biarpun susah, sebaliknya orang beriman tanpa bukti berpegang teguh pada suara hati tetapi tidak sanggup atau kecundang tatakala diberikan sedikit ujian.

Oleh Dr Tuah Iskandar Al-Haj

Saturday, August 16, 2008

helang terbang tinggi

Kepada blogger losyen mustajab... disini laptopjalur paparkan kisah renungan berkaitan binatang seperti yang diminta. diharap sainsrians mendapat pengajaran daripada kisah ini.

Alkisah...


Genghis Khan adalah seorang panglima perang dari Mongolia yang sangat terkenal. Salah satu kebiasaannya adalah membawa burung helangnya bersama setiap kali dia pergi berperang.

Suatu hari, selepas selesai bertempur dalam satu peperangan yang hebat, Genghis Khan berehat di tepi sebuah air terjun kecil bersama dengan burung helangnya. Dia sengaja duduk bersendirian, jauh daripada tentera-tenteranya, supaya dia dapat berehat sepenuhnya.

Tiba-tiba dia mula terasa haus, lalu dia bangun dan membawa bekas tanah liat tempat minumannya untuk mengambil air dari air terjun kecil yang berdekatan dengannya. Ketika dia sedang menakung air, tiba-tiba burung helang kesayangannya menyambar bekas air sehingga bekas itu terjatuh, Genghis Khan terkejut kerana tidak pernah burung helangnya yang setia itu berbuat demikian.

“Ah, mungkin dia bergurau,” bisik hati Genghis Khan. Lalu dia mengambil bekas air yang terjatuh itu dan lalu cuba mengambil air semula. Lagi sekali burung itu menyambar bekas air sehingga terpelanting jauh. Genghis Khan berasa sangat marah. Fikirnya, ini bukan lagi bergurau namanya, tetapi mempermainkan dirinya.

Dengan marah, dia mengancam mahu membunuh burung itu sekiranya masih mengganggu dirinya. Genghis Khan menakung air buat kali yang ketiga. Air baru terisi seperempat penuh apabila sekali lagi burung helangnya menyambar bekas air tersebut. Serangan kali ini agak kuat sehingga membuatkan bekas air di tangan Genghis Khan jatuh dan pecah.

Kemarahan Genghis Khan tidak dapat dibendung lagi, dengan emosi yang meluap2 dia terus menghayunkan pedangnya lalu menetak burung helangnya yang pada masa itu sedang terbang rendah. Dengan sekelip mata, burung itu terkulai lemah selepas kepalanya terpisah daripada badannya.

Selepas puas melepaskan api kemarahannya, Genghis Khan naik ke punca air terjun, tempat di mana air terjun kecil itu bermula. Untuk minum dan juga untuk melihat2 keadaan di sekelilingnya. Apabila sampai di tempat itu, alangkah terkejutnya beliau apabila mendapati ada seekor bangkai binatang yang sudah membusuk di dalam air. Akhirnya beliau sedar bahawa burung helangnya tadi sebenarnya cuba memberitahunya yang air yang bakal diminumnya itu telah tercemar dengan bangkai binatang.

Badan Genghis Khan terasa lemah longlai dan hausnya terus hilang ketika menatap burung helangnya yang setia yang telah mati dibunuhnya sendiri. Dia terus menanggalkan pakaian perangnya, lalu digunakan bagi membalut tubuh burung helangnya, kemudian burung helangnya itu dikuburkan dengan upacara ketenteraan.
Sebagai panglima perang, dia mampu mengalahkan beribu musuh dan menjadi sangat terkenal, tetapi dia tidak dapat menguasai dan melawan dirinya sendiri. Perkara ini juga menjadi pengingatan kepada dirinya dan tentera-tenteranya bahawa sebelum menguasai orang lain, kuasailah diri sendiri terlebih dahulu.
dipetik & digubah daripada Setengah Berisi, Setengah Kosong? Parlindungan Marpaung.

Ayam vs Lembu


Ayam : Manusia ni memang pentingkan diri sendiri!
Lembu : Kenapa kau kata macam tu?
Ayam : Tengoklah. Apa mereka buat kat aku!
Lembu : Hah! Buat apa pulak?
Ayam : Aku ni bertelur hari-hari. Aku cadang naklah dapat anak dua tiga ekor. Orang kata ada juga waris aku bila aku dah tak de nanti.Tapi manusia ni memang tak berhati perut. Hari-hari dia orang makan telor aku, macamana aku nak dapat anak!
Lembu : Alah! Kau punya masaalah kecil aja!
Ayam : ?? Maksud kau?
Lembu : Aku ni, kalau fikirkan nasib aku lagi malang. Rasa nak bunuh diri pun ada. Bayangkan, hari-hari manusia minum susu aku tapi sorangpun tak pernah panggil aku MAK!
Ayam : ?? (Dalam hati: Tak boleh pakai punya lembu!)

Friday, August 15, 2008

Dengarlah cakap cikgu...

Salah satu petua untuk skor A ialah dapatkan sokongan daripada guru.
Sokongan guru adalah antara perkara terpenting dalam mencapai matlamat kejayaan kita. Untuk skor A, saluran paling utama untuk mencapainya ialah melalui guru kita. Apabila guru kita bersungguh-sungguh untuk membantu dan membawa kita ke arah kejayaan, lebih mudah untuk kita ke sana. Banyak ketikanya pelajar dan ibu bapa merungut mengatakan guru tidak bersungguh-sungguh dan tidak peduli dengan kejayaan muridnya. Malah ada yang menuduh guru hanya menganggap sekolah sebagai tempat mencari duit dan tempat untuk mempunyai kerjaya sahaja.

Tanggapan ini salah. Mengapa? Semua guru mahu anak muridnya berjaya. Satu sebabnya tentulah kerana itu tanggungjawab mereka. Namun satu sebab yang boleh kita percayai ialah kejayaan anak murid melambangkan kejayaan guru itu juga. Guru yang hebat pasti boleh melahirkan anak murid yang hebat. Jadi, persoalan guru tidak serius atau tidak bersungguh-sungguh harus diketepikan.
Apa yang perlu kita fikirkan ialah mengapa guru lebih bersungguh-sungguh mengajar murid lain berbanding kita? Hmm… sekali lagi, jangan buruk sangka. Lihat semula kepada diri kita. Adakah kita selalu melawan cakap cikgu, degil, tidak beri tumpuan dalam kelas, terlalu ‘loyar buruk’, tidak hormat, tidak pernah siapkan kerja sekolah dan mengutuk guru itu dibelakangnya? Jika kita pernah atau biasa lakukan ini semua, adakah guru akan serius untuk membantu kita?Tentu tidak bukan?
Jadi, mulai hari ini, cari jalan untuk mendekati dan mendapat sokongan guru kita meskipun guru itu sibuk dengan tugas dan tanggungjawab hariannya.

oleh Osman Affan, Pakar Motivasi Belajar

Apa itu buli?


Buli bermaksud perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan atau maksud untuk menunjukkan kekuatan masing-masing. Ini secara tidak langsung, menjadikan mereka yang lemah mematuhi atau menghormati mereka yang kuat. Secara keseluruhannya, perbuatan membuli merupakan perbuatan yang sangat tidak baik serta boleh membuatkan orang lain boleh menjadi mangsa serta boleh mendatangkan ketidak selesaan kepada orang lain.

Siapakah yang sering membuli dan dibuli
Pembuli
Terdiri daripada pelajar menengah atas iaitu tingkatan empat, lima, dan enam.
Bertubuh besar, tegap, dan tinggi.
Melibatkan sekumpulan pelajar dan biasanya usia mereka adalah sebaya.
Kejayaan membuli pelajar junior akan menunjukkan mereka kuat, berkuasa, dan tidak mudah digertak.


Dibuli
Di Malaysia, pelajar-pelajar yang sering menjadi mangsa ialah pelajar menengah rendah iaitu tingkatan satu, dua, dan tiga serta pelajar sekolah rendah.
Bertubuh kecil.
Pelajar yang kerap dipuji oleh guru akan menjadi sasaran.
Pelajar baru di sekolah.

Kenapakah mereka sering membuli?
Sebenarnya terdapat banyak sebab kenapa mereka suka membuli. Antara sebabnya adalah:
Faktor rakan sebaya mempunyai pengaruh paling kuat untuk mengubah tingkah laku pelajar.
Individu yang membuli ini mungkin ingin memperlihatkan rasa tidak puas hati mereka.
Mereka pernah menjadi mangsa buli.
Gangguan personaliti seperti antisosial golongan yang tidak pernah berasa bersalah apabila membuat kesilapan.
Individu yang gagal mengendalikan emosi dengan baik. Golongan ini biasanya terdapat pada kanak-kanak hyperactive atau cergas yang melampau yang sering bersikap tidak pernah mengambil peduli perasaan orang lain.
Mereka yang tidak berjaya dalam pelajaran, nakal, dan mempunyai masalah disiplin.
Akibat perceraian ibu bapa.
Terlalu dimanja oleh ibu bapa.
Sekadar mahu berseronok.
Marah dan benci pada mangsa atas sebab disayangi guru.
Ingin menunjukkan kekuatan sendiri.

Adakah perempuan terlibat dalam perbuatan buli?
Ramai beranggapan perbuatan buli hanya melibatkan pelajar lelaki. Tapi, ia silap. Pelajar perempuan juga turut terlibat dalam perbuatan tersebut dan mampu mendorong kepada perbuatan yang serius jika tidak dibendung.
Buli di kalangan pelajar perempuan biasanya melibatkan ejekan dan pemulauan.

Jenis-jenis buli
Buli fizikal
Melibatkan pukul-memukul, memeras ugut, menampar, menendang, menarik rambut, menolak, mencubit, atau sepak terajang hingga menyebabkan kecederaan.
Paling ganas boleh menyebabkan kematian.
Buli mental
Lebih kepada ejek-mengejek.

Kesan buli
Pembuli
Apabila dewasa kelak, kemungkinan besar akan menjadi penjenayah.
Bertindak agresif apabila dewasa seperti merogol, merompak, atau menjadi seorang pendera terhadap isteri.
Dibuli
Mereka akan membalas dendam kepada orang lain. Tujuannya untuk mengembalikan harga diri yang hilang akibat dibuli.
Hilang keyakinan diri, membiarkan diri diperlakukan apa sahaja, sanggup melakukan sesuatu demi membahagiakan orang lain, tidak mahu ke sekolah, dan sebagainya. Sehinggakan ada yang sanggup mencederakan diri sendiri kerana merasakan diri mereka tidak berguna.

Peringatan: Sainsrians jangan terlibat dengan perlakuan negatif seumpama ini. Tindakan disiplin, gantung sekolah dan buang sekolah adalah hukuman sewajarnya kepada pembuli.

Monday, August 11, 2008

Buku itu pelita ilmu

SATU KISAH: AKU SEBUAH BUKU TEKS SEKOLAH

Tanggal 15 Julai 2008 Selasa 6.52 pagi, aku telah dijumpai. Semalaman aku basah kuyup dek ditimpa hujan, sejuknya tuhan sahaja yang tahu. Hinanya aku ditinggalkan di atas tong sampah di depan dewan sedangkan ilmu yang tercatat di dalam ku cukup mulia dan berharga.

Kalau ku punya mulut pasti ku bersuara bertanyakan tuan empunya diriku? Di manakah dia? Sampai hati dia buat aku begini, ditinggalkan tidak dituntut tidak ditanya khabar walau sepatah khabar pun.

Kalau ku punya kaki, pasti ku akan bergerak sendiri mencari tuan aku. Tapi sayang, aku tiada kaki dan mulut. Aku dibiarkan di atas tong ini walaupun berduyun-berduyun manusia lalu di tepi ku tadi kerana roll call di dewan. Aku tahu aku tidak punya mata tapi insan-insan berlalu tadi rasanya empunya mata untuk melihat.

Aneh, ‘tuan aku buat-buat tak kenal aku. Tapi aku sangat kenal siapa tuan aku walaupun’ namanya tiada tertera di badanku. Cuma yang ada tanda kelahiran cop Sekolah Menengah Sains Miri dan no. sijil kelahiranku no. siri skim pinjaman buku teks sekolah.

Kata orang, buku itu pelita ilmu tapi apakan daya aku cuma sebuah buku teks sekolah. Ilmuku tak ‘seberapa’, mungkin sebab itu aku dipandang sebelah mata dan dianggap tidak berapa penting. Aku cuma mampu berdoa agar tuan aku itu diberkati walaupun aku dilayan sebegini rupa. Semoga dia insaf dan mengubah sikapnya.

DI MANAKAH SIKAP TANGGUNG JAWAB DAN PRIHATIN KITA?

Payung Terjun


Suatu petang, sebuah pesawat Fokker 27 milik salah sebuah syarikat penerbangan terbang melintasi hutan2 di sekeliling Bukit Barisan, Sumatera Utara. Di dalam pesawat tersebut terdapat tujuh orang yang terdiri daripada juruterbang, penolong juruterbang, seorang pegawai dan temannya, seorang ahli koporat, seorang pesara dan seorang pegawai IT yang akan membantu ketuanya mengadakan penyampaian. Kesemua mereka sedang dalam perjalanan ke Medan atas urusan kerja.

Keadaan cuaca pada masa itu agak buruk. Hujan, angin kencang dan petir sambar menyambar sehingga membuat pesawat kecil itu bergoncang dengan kuat. Juruterbang mengalami kesukaran mengawal pesawat dan mengambil keputusan memaklumkan kepada menara kawalan yang pesawat mereka mungkin akan terhempas.

"Mayday..Mayday!" kata juruterbang. Tiba2 kedengaran bunyi letupan kecil dari bahagian belakang pesawat. Rupanya bahagian ekor pesawat telah disambar petir dan terbakar. Semua penumpang terdiam ketakutan dan berdoa agar mereka selamat. Berapa saat kemudian, pintu kokpit terbuka. Juruterbang dan penolong juruterbang memaklumkan keadaan sebenar kepada para penumpang.

"Penumpang2 semua, saya ada satu berita baik dan satu berita buruk. Berita buruknya, pesawat kita ini akan terhempas sebentar lagi. Berita baiknya pula, di dalam pesawat ini ada enam payung terjun tetapi saya dan pembantu juruterbang sudah pun mengambil dua daripadanya!" Sejurus kemudian, juruterbang dan pembantu juruterbang membuka pintu pesawat dan kedua-duanya melompat keluar menyelamatkan diri. Penumpang masih ada lima orang sedangkan payung terjun tinggal empat.

Tiba2 si pegawai menarik satu payung terjun sambil berkata, "Saudara2, saya adalah pegawai penting di syarikat kita, awak semua pun tahu. Banyak surat2 penting berkaitan kebajikan orang yang belum saya tandatangani. Kehadiran saya di Medan amat penting, maka saya mesti selamat. " Lalu dia pun melompat keluar dari pesawat.

Teman pegawai tersebut pun juga tidak mahu ketinggalan. Dengan segera, dia mengambil payung terjun dan berkata, " Saudara2, sebagai pembekal dan pengedar keselamatan nyawa saya amat penting. Pembekalan barang untuk syarikat saudara akan terganggu jika saya tiada. Ramai yang akan susah jika bekalan barang2 mereka tidak sampai." Selepas itu, dia pun terus melompat keluar menyelamatkan dirinya.

Begitu juga dengan penumpang seterusnya, seorang ahli korporat. Dia berkata, " Wang syarikat banyak habis bagi membiayai pengajian saya ke peringkat Sarjana. Kehadiran saya di syarikat sangat berharga kerana saya memainkan peranan penting dalam hala tuju syarikat dan membawa keuntungan. Tiada orang yang lebih pandai daripada saya di syarikat ini." Dengan tergesa2 dia mencapai beg payung terjun dan melompat keluar sambil berteriak gembira, "Kejayaan terus hidup!"

Maka tinggallah pesara bersama dengan pegawai IT, yang termangu2 melihat beg payung terjun yang tinggal satu itu. Akhirnya, pesara itu berkata, "Anak muda, pakcik sudah tua dan puas hidup. Pakcik juga sudah mengecapi kebahagian dan kesenangan selama bekerja di syarikat. Anak2 pakcik pun semuanya sudah berjaya, jadi sudah tiba masanya pakcik berkorban dan memberi kesempatan kepada orang yang lebih muda. Ambillah payung terjun ini, biarlah pakcik jatuh bersama2 pesawat ini nanti!"

Mendengar kata2 pesara itu, pegawai IT itu tersenyum bersahaja dan tenang berkata, "Jangan risau pakcik. Kita berdua masih boleh menyelamatkan diri. Ahli korporat yang mengaku pandai dan hebat tadi tidak mengambil beg payung terjun, sebaliknya dia terambil beg yang berisi mesin projektor LCD saya!"

(cerita ini digubah daripada
Setengah Berisi Setengah Kosong, Parlindungan Marpaung)

Apakah moral cerita ini sainsrians?